Dia duduk, termangu. Menggaru
kepalanya yang tidak gatal. Disarungkan kopiahnya lagi. Aneh, sungguh aneh.
Baru sebentar tadinya dia berada di pejabatnya, kesejukan. Diperlahankan
penghawa dinginnya menggunakan alat kawalan jauh sambil menggoyang-goyangkan
kakinya yang dipangku diatas meja. Bingkai gambar yang dihiasi wajah anaknya
yang baru berumur setahun setengah itu dirapikan di tengah meja. Comel. Dia
melaraskan gambar tersebut, kadang sedikit kekanan, kadang sedikit kekiri,
kedepan, kebelakang. Sehingga hatinya puas. Gambar semasa dia memangku anaknya
itu diambil semasa mereka bercuti di Armsterdam tempoh hari. Anaknya telah mula
petah bersuara, namun entah siapa yang dapat memahami tutur kata anak kecil
mulus itu. Alangkah seronoknya jika anaknya itu ada bersamanya ketika ini, di
pejabat ini. Sambil dikendong anaknya, akan diajar kepada anaknya itu cara-cara
mengurus syarikat. Akan diajar kepada anaknya itu selok belok pengurusan
kewangan. Akan diajar kepada anaknya itu kemahiran komunikasinya yang amat
dibanggakan itu. Akan ditunjukkan kepada anaknya itu peti simpanan rahsia akan
harta-hartanya yang dikumpul selama berpuluh tahun ini, semuanya terletak di
belakang bingkai gambar besar di belakang kerusi CEO empuknya itu. Sungguh!
Tapi itu baru sebentar tadi. Sekarang
tidak lagi. Sedar tidak sedar kini dia berada di tengah-tengah kota yang
lengang. Ingatan terhadap anaknya sebentar tadi itu pun kini mula samar-samar,
seolah-olah hanya dari sisipan kecil kenangan dari masa silamnya yang amat jauh.
Diraba kepalanya, membetulkan kopiah yang dipakainya sejak dipejabat tadi. Sejenak
kemudian dia mula mendengar gerombolan hiruk pikuk yang amat dasyat. Amat
hebat. Seolah terdapat satu keraian dan keramaian di suatu tempat yang jauh di
luar kota. Namun dihadapannya tetap hanyalah sebuah kota yang amat lengang,
sesekali angin sepoi bertiup menerbangkan helaian surat khabar yang bertaburan
diatas jalan yang sunyi itu, sehelai demi sehelai, dan cawan-cawan kertas pun bergolek-golek
di atas jalanan. Diperhatikan debu-debu kelabu kemerahan yang berterbangan, terawang-awang
sebelum melekap di dinding-dinding bangunan sekelilingnya yang sudahpun amat
usang. Dia mendongak keatas, terlihat akannya dua buah menara yang tinggi
melangit, juga usang, dan seolah berkarat dimamah usia. Tentunya semasa awal
pembinaannya dulu ia pernah berdiri megah, mungkin juga sebagai lambang
kebanggaan sesebuah negara kota. "Alangkah sayangnya bangunan sebegini
cantik terbiar sebegini. Jika syarikat aku-lah yang menguruskannya, ini
tentulah tidak terjadi", hatinya berdetik. Tiba-tiba kekesalan datang
dihatinya, ini bukan masanya dia berfikir soal ini!
Dia (kita gelarkan saja si bapa), mula
berjalan, dilangkahkan kakinya yang tadinya lemah, selangkah demi selangkah. Si
bapa nekad; apapun terjadi, dia mahu mencari anaknya dahulu. Biarpun bermula di
satu kota usang entah dimana, anaknya itu akan tetap dicari! Pergi jahanam
dengan keraian dan keramaian di luar kota itu!
Dia terus berjalan, sehingga dia terhenti di
suatu lorong tinggal yang gelap, dipenuhi sampah kotor, busuk dan meloyakan
entah bertahun, berzaman tidak berkutip. Dia melihat susuk tubuh seorang
kanak-kanak kecil sedang menggunakan kayu kecil, menguis-nguis sesuatu di atas
laluan lorong tersebut. Dia merapati anak kecil itu dan diamati gerak lakunya
dengan lebih jelas. Rupanya anak kecil itu sedang menguis-nguis tahinya
sendiri. Begitu bersungguh si anak kecil itu sehingga tidak menyedari akan
kehadiran si bapa yang sudah benar-benar dibelakangnya. Entah apa yang dicari
atau yang bermain difikiran anak kecil yang mungkin tidak mengetahui apa-apa
itu.
"Hey, anak kecil!" sapanya. Anak
kecil itu terkejut sambil berpaling kebelakang, hampir terlompat nyaris sahaja memijak
tahinya sendiri yang dimainkan sedari tadi. Kayu kecil ditangannya terlepas, dengan
terkulat-kulat dia kemudiannya menyapu tangannya itu pada baju di tubuhnya yang
compang-camping dan amat lusuh itu. Serta merta anak kecil itu mendakap tangan
si bapa dengan kuat, seolah tidak mahu dilepaskan. Seolah meminta agar dibawa oleh
si bapa kemana sahaja, asalkan bukan lagi di lorong itu. Si bapa tergamam
diperlakukan demikian oleh anak kecil itu, dengan tangan halus yang bermain
najis pula, ingin dimarahi; namun naluri kebapaannya yang sedari tadi membara serta
merta melunturkan amarahnya itu.
"Apa kamu buat disini? Dimana ibu dan
bapamu?", tanyanya lembut kepada anak kecil itu. Anak kecil itu tidak
menjawab, hanya pandangan sepasang mata redup yang berkaca dibalas oleh anak
kecil itu. Pandangan yang menusuk jiwanya, penuh bermakna. Si bapa mengangguk, memahaminya,
lantas dia meneruskan perjalanan, di jalan yang penuh berdebu, ditemani bulan
siang, berpimpinan tangan bersama-sama si anak kecil.
Dan mereka pun sampai kesebuah persimpangan.
Dari jauh dia melihat debu-debu berterbangan dengan amat rancak, seolah ada
sesuatu yang besar, ramai, meriah penuh hiruk pikuk menuju kearah mereka.
Mereka berdua berhenti bagi membenarkan sesuatu itu melalui mereka terlebih
dahulu, barangkali, mungkin, jika ianya sebuah kenderaan, bolehlah mereka
menumpangnya.
Sangkaannya meleset. Semakin hampir
hiruk-pikuk itu kepada mereka, semakin jelaslah dipandangan matanya, akan
seorang penggembala babi, sedang membawa babi-babinya entah menuju kemana.
Penggembala itu kelihatan tergesa-gesa, beberapa ekor babi yang terlepas dari
kawanannya juga tidak dihiraukan, yang penting dirinya dan babi-babinya yang
lain itu berjaya sampai ke satu tempat tujuan. Hampir saja kawanan babi itu
mencecah ribuan, mungkin juga jutaan, penggembala itu juga sudahpun tidak
peduli, dia sudah lama berhenti mengira. Dahulu dikiranya satu persatu, berapa
jantannya, berapa betinanya, berapa hitamnya, berapa putihnya, berapa induknya,
berapa anaknya. Dia juga sudah mengira-ngira keuntungan sekiranya babi-babinya
nanti dijual ke pasaran seluruh dunia, berapakah harga pasaran antarabangsanya,
berapa keuntungan untuknya, berapa keuntungan kroninya, berapa cukainya, berapa
perlu disuap kepada penduduk sekitar tanah gembalanya agar mereka menutup
mulut. Lengkap kiraannya satu persatu.
Tapi itu dahulu. Semasa babi-babi itu
digembalai orang bersongkok. Kini apabila dia, dengan kopiah putihnya,
mengambil alih tugasan penggembalaannya, dia sudah lupa itu semua. Dia tidak
lagi perlu mengira babi-babinya. Beranak pinak babi-babi itu, dijual kemana
babi-babi itu, sudah dia tidak peduli. Yang penting gembala bersongkok itu
sudah dikalahkannya. Apa yang dahulunya haram padanya sudah menjadi halal, ya,
barangkali juga babi-babi itu kini sudah disembelih terlebih dahulu oleh tukang-tukang
berkopiah juga. Bagi memastikan yang telah dia halalkan itu lebih halal lagi,
dibacakan lagi 'basmallah' semasa penyembelihannya - atas nama tuhan, tuhannya
yang kini sudah sama dengan tuhan mereka. Atas nama yang sama itu juga, bukan?
"Wahai si Gembala, mahu kemana kamu
bersama babi-babimu ini?" tanya si bapa kepada si gembala.
"Kami mahu menyahut seruan!" balas
si gembala tergesa-gesa.
"Seruan apa? Seruan kemana?"
"Seruan ke Syurga!", jawab si
gembala, tersenyum yakin. Dikibarkan terus panji-panji syurga tuhan, entah
tuhan siapa, entah syurga mana, seraya tangannya menuding ke bulan siang itu,
lalu menyambung "Menuju ke langit!"
"Kamu bersama babi-babimu ini mahu ke
syurga? Mahu ke langit? Apa mungkin babi-babi ini ke syurga?" tanya si
bapa kehairanan kepada si gembala, tidak pernah didengar lagi sepanjang
hidupnya akan hal sedemikian. Seluruh hidupnya menghambakan diri kepada
Pencipta, impian utama kehidupannya juga hanyalah mahu ke syurga. Namun
syurganya itu, kini, boleh juga digapai oleh babi-babi si gembala. Babi-babi si
gembala yang hanya tahu makan, minum dan tidur. Babi-babi yang hanya tahu....
"Babi-babi syurga!", tiba-tiba anak
kecil yang dari tadi memegang tangannya, bersorak gembira. Hanya melambai
kepada si gembala yang terus berlalu dengan penuh riang, tatkala si gembala
berkopiah itu terus hanyut dalam keriangan dan angannya, membawa babi-babi ke
syurga. Si bapa hanya termangu, menggaru-garu lagi kepalanya yang tidak
gatal!
Sesudah berlalu kawanan babi gembala itu, si
bapa meneruskan perjalanan. Anak kecil kembali menyepi, tidak lagi mengucapkan
barang sepatah kata susudah sorakannya kepada Si Gembala tadi. Mereka berjalan
beriringan, berpimpin tangan. Mereka berjalan sehingga mereka tiba di suatu
persimpangan yang lain pula, hampir kelihatan sama seperti persimpangan tadi,
namun ada sesuatu yang berbeza. Di persimpangan itu ada sebuah pedati dan
seekor keldai dengan tuannya entah dimana. Pedati yang sarat dipenuhi barangan
yang bertutup rapi dengan kanvas itu diikat dibelakang si keldai yang begitu kecil
dan kurus. Sungguh tidak padan. Si bapa menghampiri pedati itu untuk melihat
kandungannya. Keldai itu mengipas-ngipaskan telinganya tatkala dihampiri,
menundukkan kepalanya, dan tiba-tiba mengangkat sebelah kaki belakangnya dan
terus menendang pedati dibelakangnya itu!
Serta merta kanvas itu terkuak, keluar seorang
saudagar yang tadinya sedang tidur dengan enak di dalam pedati miliknya itu.
Saudagar itu lantas terbangun, sambil si bapa terpinga-pinga kehairanan.
Beberapa botol-botol arak bergelimpangan jatuh dari pedati dan genggaman si
saudagar tadi, namun kesemuanya masih bertutup rapi. Tidak setitis pun arak
dari pedatinya itu diminumnya, melainkan hanya dibawanya didalam pedati itu,
entah hendak menuju kemana. Si saudagar bingkas bangun keluar dari pedatinya,
memperkemaskan pakaiannya, disisir rambutnya, lalu kopiahnya disarung di atas
kepalanya seraya terus menaiki keldainya dan mahu berlalu pergi.
"Wahai Tuan saudagar, tunggu!",
jerit si bapa. Saudagar berkopiah itu berpaling kepadanya.
"Beginilah saudara, terima kasih kerana
mengejutkan aku. Tetapi aku harus pergi, aku sudah terlambat", balas
saudagar itu.
"Mahu kemana kamu bersama arak-arakmu
ini?", tanya si bapa kepada si saudagar.
"Kami mahu menyahut seruan!", balas
si saudagar.
"Seruan apa? Seruan kemana?"
"Seruan ke Syurga!", jawab si
saudagar, yakin, sebelum terus berlalu pergi meninggalkan si bapa yang masih
lagi terpinga kehairanan. Tentunya saudagar itu juga sama seperti si gembala
tadi, tiada tujuan lain melainkan mahu ke langit, menuju syurga!
Sebetulnya saudagar arak itu juga mahu ke
bahtera yang sama bersama si gembala babi. Bahtera penyelamat agung. Bahtera
yang di-manifesto-kan mampu terbang ke langit dalam sekelip mata, hasil bantuan
dan kajian teknologi tercanggih ribuan tahun dari zaman Nabi Sulaiman. Saudagar
itu mahu ke Syurga bersama arak-araknya, mungkin kerana bimbang sungai arak
yang mengalir di syurga akan kehabisan alirannya. Dahulu lagi dia begitu
mengimpikan saat ini, sejak jawatan saudagar ini diambil dari saudagar
bersongkok. Saudagar bersongkok membawa pedati arak yang berisi arak-arak yang
haram, hina dan merosakkan masyarakat. Dia pernah bersumpah akan memusnahkan,
merobohkan, menghancurkan pedati bawaan saudagar bersongkok itu yang begitu
dibencinya. Arak di pedati bawaan saudagar bersongkok telah merusak
remaja-remaja, orang-orang tua, lelaki dan wanita, yang bukan sahaja dipaksa menjual arak-arak
itu di tepian jalan, malah di pasar-pasar terbuka. Akibat dari lambakan arak di
pedati saudagar bersongkok itu lah, ahli-ahli keluarga dalam masyarakat mengalami
penderaan, para-para isteri dan wanita diceraikan, digadaikan, dilacurkan, anak-anak
diabaikan, jiran-jiran bermusuh-musuhan, anak-anak muda dengan banyaknya
berpeleseran, bayi-bayi tidak bersalah terbuang di serata ceruk kota; di tong
sampah, sungai-sungai, malah di surau-surau yang usang - lama tidak
berpengunjung. Semuanya kerana arak jahanam dari pedati bawaan saudagar
bersongkok itu!
Tetapi itu pedati arak bawaan saudagar
bersongkok. Kini pedati arak itu bertukar tuan. Tuannya kini, tentulah saudagar
berkopiah tadi. Setelah saudagar bersongkok itu dikalahkan, sebagaimana
diriwayatkan oleh orang kebanyakan yang menyaksikan kejadian itu, telah
terjadinya mukjizat agung, yang antara lainnya meriwayatkan 'sa-usai di sarong-kan kopiahnya itu, terpan-charlah
sinaran, yang amat terang bendherang - menerangi sa-genap pelosok a'lam, chahaya-nya
menyilaukan 'ufuk timur ke 'ufuk barat. Terchengang-chengang-lah saudagar bersongkhok
tatkala itu, sa-hingga rebah badannya ka- tanah. Tanah bhumi serta-merta
terbuka, bak mulot gargasi yang besar, bahang panas-nya api neraka terasa dari
mulot bhumi itu, dan lantas ma-nelan saudagar bersongkhok itu. Itu-lah tanda
lahirnya imam agung yang ditunggu selama ini!'. Bangga-lah saudagar
berkopiah itu akan mukjizat yang telah dianugerahkan kepadanya. Atas mukjizat
itulah, serta merta arak di dalam pedati itu, berubah menjadi halal tatkala
saudagar itu menyentuh pedati penuh sarat itu. Dibawanya pedati itu dengan
keldainya, menuju ke tepian jalan yang sama, pasar-pasar terbuka yang sama.
Cuma bezanya kini arak yang dibawanya itu halal. Dijual dan dilambakkan
arak-araknya, kepada remaja-remaja, orang dewasa, orang-orang tua, lelaki dan
wanita. Penderaan, pelacuran, penceraian, pengabaian, permusuhan, pemeleseran,
pembuangan bayi bermula lagi. Tetapi itu bukan dari araknya. Sudah tentulah itu
dari kesan arak-arak tinggalan saudagar bersongkok sejak bertahun-tahun dahulu.
Bukankah arak-nya sudah halal?
"Arak-arak syurga!", tiba-tiba si anak
kecil bersorak gembira sambil melambai saudagar arak, yang telah pun jauh,
melayani khayalannya, sehingga tidak lagi kelihatan di mata mereka. Si bapa
menggeleng-geleng kepalanya.
Mereka meneruskan perjalanan lagi, menyelusuri
persimpangan-persimpangan lainnya. Di setiap persimpangan itu tetap saja mereka
menemui manusia-manusia berkopiah. Antaranya ada Si pencinta yang membawa
segerombolan wanita-wanita Kabaret dari kelab-kelab malam, mungkin bagi
menggantikan bidadari-bidadari syurga yang kini sudahpun amat tua dengan usia
jutaan tahun. Ada Si Pendamba yang membawa segerombolan tukang-tukang urut,
mungkin bagi melayani para-para malaikat yang telah penat, berjuta tahun
berkhidmat tanpa penat. Dan ada pula Si Peramal yang membawa pedati berisi
kotak-kotak nombor ramalan, mungkin bagi penghuni syurga yang mempunyai harta
yang tidak putus-putus, membelanjakannya bagi menghiburkan diri.
Dan setiap kali itu jugalah, si kecil bersorak
riang, meraikan para penuju syurga tuhan, “Wanita-wanita Kabaret syurga!”, “Tukang-tukang
urut syurga!”, “Kotak-kotak judi syurga!”. Sehinggalah sampai di suatu persimpangan,
anak kecil itu melepaskan tangan si bapa. Dia kemudiannya melepaskan tahinya di
persimpangan itu, dan mula memainkannya lagi dengan jari-jemarinya mulusnya. Si
bapa cuba menghalang, namun si anak kecil tidak lagi mempedulikannya. Digaulkan
tahi-tahinya itu dengan pepasir, membentuk babi-babi, arak-arak, wanita-wanita Kabaret,
tukang-tukang urut, kotak-kotak judi; dan terus menari mengelilingi tahi-tahi
itu, seolah-olah memuja mereka, “Selamat wahai babi, selamat wahai arak,
selamat wahai wanita Kabaret, selamat wahai tukang-tukang urut, selamat wahai
kotak-kotak judi!”. Si kecil terus mengulanginya, menjadi sebuah lagu yang
mendayu, terus khayal dan asyik, sambil tangannya yang diselaputi tahi itu
dihayun-hayunkan ke langit. Si anak dalam keasyikannya itu, lama kelamaan
berjalan semakin jauh, menuju kembali ke kota usang, barangkali kembali ke lorong
kotor tempat asalnya. Akan dia bergomol dengan tahi sekali lagi, tidak tahu
apa-apa, melainkan mengulangi lagu-lagu mendayu yang dia sendiri tidak tahu!
Si bapa terduduk. Dia keseorangan lagi. Terjelepuk
dia di persimpangan itu. Satu demi satu bayang wajah-wajah gembala, saudagar, pencinta,
pendamba, peramal, dan lain-lainnya bermain-main difikirannya. Bukan dia tidak mengenali
mereka semua. Mereka semua itu bukan orang lain juga, sahabatnya, sejak dia
kecil lagi, yang mana dahulu mereka pernah bersama-sama, atas nama persaudaraan,
berhimpun memberontak di hadapan majistret sekular. Berarak di tengah jalan
mempertahankan akidah anak-anak muda yang kian songsang. Membawa pelbagai
sepanduk, mengibarkan panji-panji suci, dalam kebangkitan yang hebat tidak
pernah dia rasai seluruh hidupnya. Pernah dia berkampung dihadapan rumah tuhan
yang bakal dihancurkan pemaju bersongkok. Atas nama perjuangan yang samalah mereka
bangkit menentang babi-babi si gembala bersongkok. Bangkit menentang
pedati-pedati arak haram si saudagar. Bangkit menentang wanita-wanita Kabaret,
tukang-tukang urut, dan kotak-kotak judi.
Tetapi itu dulu. Kini sahabat-sahabatnya juga sudah
tidak mengenalinya lagi. Anak-anak muda kini juga, seperti anak kecil tadi, sudah
tidak lagi mengerti erti sebenar perjuangan. Perjuangan di jalan Tuhan. Yang
mereka mahu, tetap juga menggomoli najis-najis, mengulang-ulang momokan
manifesto bisu dan sesat ditanamkan sedalam-dalamnya di dalam benak fikiran dengan
kebencian dan kebobrokan manusia yang bermulut manis. ‘Pergi jahanam-lah dengan
gerombolan bersongkok itu, apa yang mereka tahu melainkan songkok, keris, dan sampin?
Memang itulah perjuangan mereka. Yang kamu, gerombolan berkopiah, perjuangan
kamu seharusnya lebih suci, membawa nama tuhan, membawa hukum tuhan, membawa
kata-kata tuhan; bukan itukah perjuangan kamu?’
Perlahan-lahan si bapa bangkit. Segalanya
sudah jelas kini. Di sapu kepalanya, lalu di cabut kopiahnya. Di lipat kopiahnya
kemas-kemas, disisipkan ke dalam sakunya yang makin dipenuhi habuk. “Bukan
bahtera kali ini, bukan bahtera tahun ini”, hatinya berbisik. Dia akan menaiki
bahtera di lain kali, dimana tiada babi, tiada arak, tiada wanita-wanita
Kabaret, tiada tukang-tukang urut, dan tiada kotak-kotak judi.
Dan
kakinya terus melangkah.