Tuesday, September 4, 2012

Cerpen #1 - Suatu kisah, 10 tahun sebelum merdeka

"Sebetulnya Melayu masih belum benar-benar layak memanggil diri mereka bangsa merdeka. Ketika bangsa lain boleh memerintah negaranya dengan bebas, dengan bangsa cina sendiri memerintah China, bangsa india memerintah India, bangsa Arab memerintah Arab, bangsa Eropah memerintah Eropah; disini bangsa Melayu itu masih terkapai-kapai. Masih alpa dan lupa. Masih leka dijajah bangsa Melayu itu dibawah telunjuk bangsa lain - bukan sahaja bangsa Cina, malahan juga bangsa India. Malah masih bangga walau diperintah akan sedemikian. Bebas? Belum layak bangsa Melayu itu dipanggil Bangsa Merdeka, Tanah Melayu itu dianggap tanah bedaulat!"
- Ran, 31 Ogos 2012

****   ****

Ran mengepal penumbuknya. "Jahanam si Jepun lahanat. Jangan kau cabar aku kali ini!", getus hatinya. Hari itu dia benar-benar marah. Dicarinya teman se-onarnya, Arun dan Selo, disekitar kawasan kilang itu, namun masih tidak kelihatan. Dia berdengus, terus mengumam sendirian. "Itu saudara ku Melayu, Islam!", bentaknya dalam hati.

Hari itu hampir genap 6 bulan Jepun bertapak di Singapura. Singapura sendiri sudah ditukar namanya menjadi Pulau Shonan (disebut jepun, Shonan-to) oleh pemerintah Jepun. Namun, keadaan rakyat ketika itu sangat daif, dengan catuan makanan dikenakan oleh Jepun terhadap penduduk Singapura. Setiap keluarga hanya diberikan secupak beras setiap seminggu, menyebabkan ramai penduduk kelaparan. Hanya pucuk ubi dan ubi kayu menjadi makanan pengalas perut. Singapura telah kehabisan bekalan beras, dengan kebanyakan bekalan diimport dari Jepun. Namun kerana beras yang diberi oleh Jepun ketika itu 'lebih kapur dari beras', penduduk kampung sering mengalami masalah kesihatan terutama kembung angin. Beras lama yang dibekalkan dicampur dengan kapur yang banyak bagi mengelak dimakan bubuk, tidak hilang bau kapurnya walau sudah dicuci berulang kali dan sesudah ditanak.

Jepun menjajah Singapura tanpa tentangan dari anak watan, Melayu khususnya. Ran, Arun, dan Selo mengetahui dengan pasti akan hal itu. Kampung mereka di Bukit Timah sendiri berlaku penentangan yang sengit antara tentera penjajah British, dengan bantuan tentera Australia, India, Gurkha menentang tentera Jepun bawah arahan Jeneral Yamashita. Longkang-longkang di sepanjang jalan dari Bukit Timah ke Bukit Panjang, dipenuhi mayat-mayat dengan mata terbungkam berperut kembung, kebanyakannya askar India dan Gurkha. Askar Australia dan British kebanyakannya lari jauh ke bahagian tenggara Singapura dengan harapan dapat melarikan diri ke Surabaya, namun dikepung dari belakang oleh Jepun menyebabkan ramai dari mereka terkorban. Ran, Arun, dan Selo? Mayat-mayat yang terbungkam, kembung itu memberikan mereka hasil yang lumayan dalam beberapa hari itu. Setelah dirobek perut mayat-mayat itu bagi mengelakkan mayat timbul dari longkang dan berbau, mereka turut mengerjakan 'harta rampasan perang' yang berupa jam, rantai, cincin, kasut dan pelbagai lagi barang yang boleh digunakan untuk kehidupan seharian. Oleh itu, jangan ditanya mengapa mayat-mayat itu hampir kesemuanya kurang sifat, tiada jari, tiada tangan, dan ada juga tanpa kepala. Kebanyakan anak watan (sebut: orang melayu) mengalu-alukan kedatangan Jepun yang disangka akan membebaskan mereka dari belenggu penjajahan!

Namun siapa pun namanya penjajah, tetaplah tiada berdaulat suatu bangsa itu jika tiada bertanah. Kehidupan menjadi lebih sukar selepas kedatangan Jepun. Tanpa kuasa ekonomi dan aktiviti perdagangan, bekalan makanan dan ubatan menjadi suatu yang sangat terhad ketika itu. Kesemuanya bergantung dari bekalan tentera Jepun.

Ran, Arun (nama sebenar Harun) dan Selo (nama sebenar Sahalan), tiada pilihan lain selain terpaksa bekerja dengan Jepun di kem tentera bagi mengalas perut. Satu kebaikan tentera Jepun berbanding British, apa sahaja kerja yang diminta di kem tentera itu akan diberi. Akan diajar satu persatu, namun jika tersalah walau sedikit, penampar akan hinggap dimuka. Ran meminta kerja sebagai jurukimpal (welder), bertugas mengimpal tangki-tangki air dan minyak sebesar rumah di kawasan kem, begitu juga Arun dan Selo. Apa yang dikejar bukanlah gaji, kerana hanya matawang/duit pisang yang digunakan untuk menbayar gaji ketika itu. Tujuan sebenar meminta kerja di kawasan kimpalan itu kerana lokasinya bersebelahan stor kicap Jepun, yang mana sebenarnya merupakan stor menyimpan beras dengan mutu yang baik, bukan soya, bagi kegunaan askar Jepun. Siang masanya dihabiskan di kawasan kimpalan, dan sebelah malamnya mereka akan datang untuk mencuri (sebut: mengambil) segenggam dua beras, diletakkan didalam kocek/saku untuk dibuat makanan hari itu. Dalam masa-masa lain, mereka akan datang membawa galah yang panjang, dan disiapkan cangkuk dihujungnya, untuk mengambil baju-baju tentera Jepun yang tergantung dari luar pagar. Namun semuanya perlu dilakukan berhati-hati, kerana pada sebelah malamnya, masih terdapat aktiviti-aktiviti sampingan - terutama oleh segelintir perempuan-perempuan; yang mana sewaktu siang kerja biasa di kilang, tetapi sewaktu malamnya menjadi perempuan-perempuan kaberet, melayan serakah tentera Jepun, untuk secupak beras!

Hari tersebut hari malang. Adik Selo, Suman, ditangkap Jepun, diikatkan tangan dan kakinya di pagar depan kilang kicap itu, dilehernya digantung sekampit beras - dengan kadbod dari kotak bertulis 'pencuri'. Suman ditangkap kerana didapati mencuri beras pada malam semalamnya. Sebetulnya Suman bekerja di kilang kicap itu sebagai pengetam kayu, untuk tong-tong kayu berbentuk silinder bagi menyimpan kicap.
"Ini mesti perbuatan khianat, manakan Jepun boleh tahu? Mesti ada orang dalam!" getus hati Ran. Lalu dicarinya diseluruh kilang itu, akan siapa yang memecahkan cerita itu kepada Jepun. Ditanya semua yang bekerja di kilang tersebut, melayu, cina, india. Si Gemuk, seorang rakannya berbangsa Cina Hokkien itu membisikkan sesuatu padanya. Ketika itu di Singapura, terdapat 3 bangsa Cina yang utama; Teochew, Hokkien, dan Hainan. Teochew dikenali sebagai Cina Pekan atau Bandar - terkenal dengan kumpulan samsengnya dan hubungan dengan tentera Jepun, Hainan pula terkenal dengan masakan dan kopi yang sedap, manakala Hokkien dikenali sebagai Cina Bukit/Kampung yang rapat dan baik dengan orang Melayu Singapura ketika itu.

"Hoi Ah Hong, Si Suman sudah kena tangkap. Ini semua kerja lu kan? Lu yang kasitau Jepun kan?", sergah Ran pada Ah Hong, salah seorang mandur lantikan Jepun di kilang itu.
"Apa pasal lu tuduh wa yang kasitau itu Jepun? Mana bukti?", balah Ah Hong, angkuh.
"Orang lu sendiri la yang bagitau!", Debuk! hinggap sebijik penumbuk ke muka Ah Hong. Ah Hong jatuh. Ditangkap dan dikilas tangan ah Hong kebelakang, "Sekarang apa macam? Macamana lu mau selesaikan?"
Entah bagaimana Ah Hong berjaya tepis, terlepas kilasan tangannya.
"Baik, ini kilang, wa susah mau selesai pasal wa kerja sini. Kalau lu berani, kita selesai luar", cabar Ah Hong.
"Ok, jam berapa, di mana, lu kasitau sama wa", balas Ran.
"Ini petang, jam 5 lepas habis kerja!". Keduanya lalu berlalu pergi.

****

Sebetulnya mereka bertiga, Ran, Haron, Selo merupakan teman akrab, teman sepersekolahan (hingga darjah dua) dan juga teman seperguruan, dimana sebelumnya ada menuntut ilmu silat dengan guru silat dihujung kampung, Wak Basri namanya. Wak Basri mengajarkan ilmu persilatan kepada mereka bertiga pada setiap malam selama hampir 3 bulan.
"Hari ini, sudah selesai ilmu yang aku turunkan untuk kamu bertiga. Bertebaranlah kamu - dan jangan lupa apa yang aku pesan, jangan sesekali memakan yang haram, atau meminumnya, kelak hancur binasa ilmu yang aku turunkan itu", pesan Wak Basri selesai mereka berguru dengannya.
Pulut kuning sebagai pengeras sebagaimana awal lagi dijanjikan, diberikan kepada Wak Basri.

****

"Arun, inilah masanya kita mahu mencuba ilmu Wak Basri. Kalau tidak dicuba, sia-sialah kita dibantainya sehingga patah-patah tulang setiap malam!", tegas Ran pada Arun.
"Kau jangan jadi gila, Ran. Bukan kau tak kenal samseng-samseng tu", balas Arun.
"Kau nak jadi ayam betina, kau berdua jadilah, Arun, Selo. Aku mahu jadi jagoan! Mahu jadi ayam jantan!", balas Ran dengan yakin.
"Baiklah, kita jumpa di pagar jam 5 petang nanti", ujar Arun kepada Ran dan Selo.

Tepat jam 5, batang hidung Arun pun masih belum kelihatan. Begitu juga Selo.
"Cilaka ini dua orang, takkan lah aku sorang-sorang?", getus hati Ran.
Diluar sudah kelihatan 30 hingga 40 orang-orang Cina Teochew diketuai Ah Hong dengan adiknya, kebanyakan bersenjata tombak, sudah bersiap sedia dan menjerit-jerit menyuruh Ran keluar dari kawasan kilang.
Dia kembali ke kawasan kilang, mencari lagi si Arun dan si Selo. "Celaka, betul-betul kau orang jadi ayam betina!", bentak Ran dalam hatinya.
Bukan kematian itu yang menakutkannya. Dia sudah lama bersedia. Di zaman itu kematian bukanlah sesuatu yang asing. Dia telah lama belajar untuk menerima segala ketentuan Allah Taala. Apa yang dikesali hanyalah ketiadaan teman yang akan membawa pulang jenazahnya jika dia mati hari ini!

Dia nekad. Hari itu dia tidak mahu lagi melihat anak bangsanya, saudara seislamnya, dipijak dan dihina di tanah sendiri. Dia terus berjalan ke arah pagar, walau berkali kali Raj (seorang Gurkha, guard kilang) yang menasihatinya agar membatalkan hasratnya itu.
"Ran, you jangan cari penyakit la. You mesti mati punya!", pujuk Raj berkali-kali, tetap enggan membuka pintu pagar kilang itu.
"Bai, bagus you buka itu pagar. Kalau you tak buka juga, aku panjat ini pagar nanti. Dah melanggar undang-undang Singapura, sudah ada pagar, mahu dipanjat lagi", tegas Ran. Raj akhirnya mengalah dan akur dengan desakan Ran.

Ran terus melangkah keluar. 30 hingga 40 orang samseng Teochew dengan bersenjatakan kayu dan tombak sejenak itu menggusarkan hatinya, tetapi diyakini kembali ilmu silat yang diperturunkan Wak Basri. Dia mengerling ke pagar melalui ekor matanya, dilihatnya Suman yang diikat di pintu pagar hadapan kilang dengan beras tergantung dilehernya itu, lantas menaikkan lagi semangat Melayu-nya yang lama terpendam. Dia teringat akan pesan Wak Basri, "apabila sudah berhadapan musuh, jangan sekali-kali berpaling ke belakang atau membelakangi musuhmu, pasti senjata tidak akan mampu melukai dan menembusi badanmu. Ingat, jangan memberi ruang, pastikan tiada yang menyerangmu di bahagian dibelakang - terutama di belakang kedua cuping telingamu". Terngiang-ngiang kata-kata Wak Basri tatkala dia melangkah keluar dari pagar kilang itu.

Tanpa ragu, dia terus meluru kehadapan, dengan tangan kosong, menyerbu kumpulan samseng itu. Satu persatu tombak dan kayu ditepis dengan tangannya, gerak bak tari, isi bak besi dibalas dengan pukulan silat Wak Basri. Sama sekali tidak dia berpaling kebelakang, menyaksikan seorang demi seorang samseng cina itu tumbang, dan selangkah demi selangkah juga dia makin kehadapan. Ran akhirnya berhadapan dengan Ah Hong, tanpa membuang dicekupnya kepala Ah Hong lalu dikunci tengkuknya, pada masa yang sama tangan kirinya mencapai leher adik Ah Hong, lalu digunakan kedua tubuh itu untuk menahan dan menepis serangan bertali arus yang masih mendatang. Memercik-mercik darah dari badan Ah Hong dan adiknya terkena tombak dan kayu dari orang-orang mereka sendiri, manakala Ran yang memegang dengan kejap leher kedua jasad itu sambil dihayun dan ditepis itu, dengan yakin menuju ke arah kem tentera Jepun. Tentera-tentera Jepun didalam kem yang sedari tadi melihat dari tingkat atas kem itu.

Master Ken, penyelia kem kemudian keluar dari rumahnya apabila Ran memanggilnya dari luar.
"Master! Master!"   
"Ya, Mr Bakara-tok (panggilan Jepun kepadanya), apa ini?!", sergah Master Ken.
"Master, ini dua orang sudah buat khianat sama melayu, Master. Kalau Master tak mahu ini dua orang kepala pecah, baik Master kasi lepas itu melayu di pagar", tegas Ran. Tidak dia peduli lagi apa akan terjadi padanya selepas ini.
"Bakara-tok, lu pukur ini dua orang apa macam sangat teruk?", tanya Master Ken, aneh, dan pada masa yang sama kagum dengan kehebatan dan keberanian anak Melayu itu.
"Tidak, saya tidak pukul, Master. Saya senjata apa pun tiada, tangan kosong. Ini anak buah dia sendiri yang pukul, Master", jelas Ran.
"Baik, baik, watashi kasi lepas itu melayu ikat pagar sekarang. Sekarang kita buat itu report sama Polis dulu", perintah Master Ken.
Balai Polis itu sebenarnya tidak jauh, hanya beberapa meter dari kawasan pergaduhan itu. Namun, tiada anggota polis yang berani bertindak disebabkan kuatnya pengaruh Ah Hong sebelum ini.

Selesai membuat laporan, tiba sebuah lori di hadapan balai polis dan menjemput Ran. Kawannya yang memandu lori itu, Ghani, menjemput Ran menaiki lorinya sebelum memandu ke kawasan perkuburan Cina di Bukit Timah. Di dalam lori itu, rupanya si Arun dan Selo telah siap menunggu dan menangis melihat sahabat karib mereka yang ditinggalkan itu masih hidup.
"Hero kita sudah sampai!", jerit Si Gemuk si Cina Hokkien itu apabila Ran turun dari lori tersebut.
'Lek Tang' lantas terus dimainkan, gah disambut bagaikan wira si Ran di Tua Pek Kong di hadapan tanah perkuburan Cina itu. Arak dihidangkan diatas meja, wanita-wanita cina dengan pakaian dan tarian menggoda keluar dari dalam dan menari-nari di hadapan Ran, si Gemuk dan beberapa lagi kawan-kawan cina Hokkiennya yang turut sama meraikan kemenangan, seolah-olah meraikan keramaian yang sangat hebat.
"Haiya Gemuk, itu lu punya Tua Pek Kong tidak marah ka ini macam?", tanya Ran, gusar.
"Tiada mah, hari ini hari istimewa, lai-lai moi, kasi layan hero kita ini hari!", kata Si Gemuk, sambil memanggil-manggil gadis-gadis penari itu untuk melayani Ran.
"Apa macam ni Ghani, ini semua bukan barang halal ni", bisiknya pada Ghani. Ghani mengangguk setuju.
"Wa tak boleh minum ini semua la, nanti wa punya ilmu semua habis, hancur. Kasi itu Green Spot sudah lah", kata Ran pada Si Gemuk. Green Spot, air perasa oren dalam botol kaca, tapi penuh dengan serat. Orang kampung gelarkan ia air cina mati. Sebab air tersebut sering dihidangkan sewaktu kematian orang Cina.
"Lu ada belajar itu Kuntau ka?", tanya Si Gemuk lagi.
"Mana ada la. Biasa-biasa saja".
"Itu Ah Hong bukan cina baik juga. Sama kami pun dia selalu minta wang. Terima kasih, Kawan", kata Si Gemuk, entah mabuk atau tidak.
Beberapa ketika kemudian, Ran dan Ghani mengundur diri. Si Gemuk dan kawan-kawannya yang lain masih mabuk-mabuk sewaktu melambai mereka pergi. Si Ghani memandu lorinya ke masjid di Kem tentera, satu-satunya masjid yang dibuka 24 jam dan menunaikan solat sunat syukur atas apa yang telah terjadi di siang hari tadi.

Hampir subuh itu barulah dia sampai di rumah
"Ran, lambat kau sampai?", tegur Wak Kemat (nama sebenar, Hj Ahmad), bapanya. Seolah-olah tahu anaknya akan pulang waktu itu. Sungguh berlainan dari biasa.
"Dari masjid tadi Pak, sembahyang kesyukuran" balas Ran.
"Kenapa lambat-lambat, Ran. Mari kita sembahyang dulu"
"Lambat? Sembahyang apa Pak?"
"Sembahyang kesyukuran"
"Lagi?" bisik hati Ran, tapi dipendam dan tanpa banyak soal dia menurut.
Seusai sembahyang, bapanya masuk ke dapur. Lalu keluar semula dengan sebiji mangkuk putih, dan sebotol minyak kelapa.
"Kemari tanganmu, Ran". Wak Kemat lalu duduk bersila, dan menuangkan minyak kelapa itu ditelapak tangannya. Dibaca beberapa ayat suci, lalu disapu-sapu minyak tersebut pada tangan Ran, dari hujung siku ke hujung jari. Mangkuk putih ditadahkan di bawah pergelangan tangan Ran. Sedang perlahan-lahan dilurut tangan Ran, dengan tidak semena-mena kelihatan 3 biji besi cair/raksa keluar dari tepat dari urat biru dipergelangan tangan Ran. Lalu diulang yang sama pada tangan kiri Ran, 3 biji lagi keluar, jatuh ke dalam mangkuk putih tersebut. 6 biji raksa semuanya! Ran yang masih terpinga dengan kejadian tersebut, ingin bersuara meminta kepastian.
"Sebaiknya kau pulangkan kembali barang ini kepada tuan punya-nya, Ran", tegas Wak Kemat seraya menghulurkan mangkuk putih berisi biji-biji raksa itu kepada Ran.
"Tapi, apa ini Pak?"
"Ini benda kotor, kalau kau mati dengan benda ini didalam tubuhmu, kau mati kafir, Ran", jelas Wak Kemat lagi. Fahamlah dia bahawa tanpa disedari Wak Basri telah memasukkan raksa itu didalam tubuhnya - sebagai ilmu Perang, penguat, pendinding, dan ilmu kebal. Baru dia sedar akan kebahayaan yang hampir dialami di siang tadi!
"Baiklah Pak, esok pagi saya pulangkan", akur Ran.

Esoknya, seawal pagi dia tiba di rumah Wak Basri.
"Assalamu'alaikum, Wak!", jeritnya dari depan rumah.
"Ran, ya?", terdengar suara Wak Basri dari dalam. Agak garau suaranya pagi itu, dengan pintu dan tingkap bertutup rapat.
"Tinggalkan saja mangkuk itu di depan pintu rumahku", sambungnya lagi tanpa sempat Ran berkata apa-apa dengan lebih lanjut. Begitulah hebatnya ilmu-ilmu kebatinan Melayu dizaman dulu!

Barulah dia teringatkan akan perbualannya dengan bapanya beberapa hari sebelum mengambil keputusan berguru dengan Wak Basri.
"Pak, dengan abang-abang lain ada Bapak turunkan ilmu, dengan saya tiada?", digetuskan rasa kecewanya kepada bapanya.
"Kau lain, Ran. Kau, orang kencing tak basuh", senda bapanya. Mungkin merujuk kepada sikap jahat dan samseng Ran, serta rapatnya dengan bangsa cina ketika itu.

Sejak peristiwa pergaduhan itulah, pengaruh dan nama Ran mula naik dan digeruni di kalangan penduduk Bukit Timah dan kawasan-kawasan lain ketika itu, tidak kira melayu, cina, india, atau Jepun sendiri. Berlaku satu peristiwa lain kemudiannya menyebabkan dia terus berhenti bekerja dengan Jepun dan bersikap anti-Jepun/penjajah tegar apabila melihat sendiri 3 kepala orang melayu tidak bertubuh dipasung pada pagar di hadapan pelabuhan Singapura, hanya kerana mencuri beras!   
Bertitik-tolak dari itu, Ran, Arun, dan Selo mula melibatkan diri dalam kegiatan peras ugut dan pemungut wang perlindungan dari kedai-kedai di serata Bukit Timah. Selepas pengunduran Jepun, kegiatan mereka semakin menjadi-jadi. Sasarannya tidak lain hanya kedai cina dan india, dengan berbekalkan reputasinya sebelum ini, kerja mereka menjadi mudah. Tiada lagi istilah Hokkien, Teochew atau Hainan dalam buku kutipan wangnya, tiada samseng lain berani menganggu kawasan Ran di deretan kedai-kedai sepanjang 7 batu di Bukit Timah itu, dari batu 6 hingga batu 13, kesemuanya dipegang oleh Ran, Arun dan Selo.

*****

Tidak ramai mengetahui, disebalik kegiatan samsengnya selama hampir 7 tahun itu, pada masa yang sama Ran sebenarnya terlibat secara langsung didalam kegiatan gerakan bawah tanah, dengan menyertai Ahmad Boestamam, yang menubuhkan API (Angkatan  Pemuda Insaf), 'tentera' dibawah KMM, untuk membangkitkan semangat nasionalis Melayu, dimana kediaman Ran sendiri menjadi markas perjumpaan dan latihan anggota-anggota API bagi cawangan Singapura. Bukit Timah menjadi medan latihan perperangan gerila untuk menentang penjajahan, bukan sahaja bagi pejuang nasionalis Malaya, malah turut melatih pejuang nasionalis Indonesia. Senjata-senjata perang yang dikumpulkannya sewaktu pertempuran Jepun-British dulu, dikeluarkan dari kotak-kotak dari bawah tanah yang ditanamnya sebelum itu untuk melatih para pejuang nasionalis.

Sebetulnya nasionalis Indonesia menghadapi perang ideologi yang lebih hebat sewaktu itu, jauh lebih awal dan sengit berbanding Tanah Melayu. Cabang Nasionalis, Golongan agamawan, dan Komunis merupakan elemen yang cuba disatukan oleh Sukarno. Jepun sendiri memilih untuk mengangkat golongan agamawan dan Nasionalis untuk mengekang pengaruh Komunis. Gabungan Nahdatul Ulama, Muhammadiyyah, PUI, PUII membentuk Masyumi dengan pengaruh yang amat kuat, dan Sukarno sendiri sebagai golongan Nasionalis. Pasca kekalahan Jepun, pengaruh Komunis mula menular dengan pantas dibawah pimpinan Amir Sjarifodin (hanya menggunakan nama Islam, tetapi bukan Islam!) kerana giatnya melakukan aktiviti bawah tanah berbanding pimpinan Masyumi yang kelihatan lebih banyak berkata-kata berbanding mengambil apa-apa tindakan.

Ran sedar akan hakikat itu. Hakikat dikuasai dan dijajah oleh bangsa luar melalui perbezaan ideologi. Hakikat bahawa hanya penggabungan golongan nasionalis dan golongan agamawan mampu mengembalikan kedaulatan bangsa Melayu. Akan tetapi semua itu terlalu sukar! Komunis Tanah Melayu dan Indonesia menerima dana yang besar dari Komunis Peking/Tanah besar, manakala penjajah British menerima dana yang besar dari Eropah, bagi memastikan gabungan nasionalis-agamawan ini tidak sekali-kali akan berlaku. Barangkali, ya - barangkali, penjajah British sendiri mempunyai perjanjian dengan Komunis untuk terus menghinakan bangsa Melayu di tanah sendiri!    

Kesedaran Ran bukan lahir dari ilusi-ilusi kosong jiwa para pencinta bangsa ketika itu. Dia sendiri membaca dan memperolehi (sebut: mencuri) beratus buku-buku dari Muzium Kebangsaan Singapura. Buku-buku yang sangat istimewa dari tingkat khas, tingkat 3 muzium Singapura yang sentiasa berkunci - tidak pernah dibuka kepada orang ramai - hanya dibuka, khas untuk bacaan pegawai tinggi kerajaan, dan bacaan duta-duta dalam dan luar negara. Lebih dari 400 buah buku dilarikan dari tingkat 3 muzium itu, disimpan di rumahnya - dilarikan hanya dengan menaiki basikal bertayar mati, selama 6 bulan, dilarikan tatkala tiba malam, hujan, dan ribut - bagi mengelakkan ditangkap. Kesemua buku di tingkat 3 itu tidak terdapat di tempat lain, kebanyakannya mengenai sejarah penentangan penjajah di Indonesia dengan sejarahnya melebihi 500 tahun, semenjak dari pengaruh Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) lagi. Dengan bantuan sahabatnya, seorang janitor di bangunan muzium tersebut, jeriji tingkap di tingkat 3 itu digergaji, cukup untuk meloloskan badannya keluar dari tingkap, dengan memijak adang diluar tingkap yang hanya selebar 3 inci sebagai satu-satunya sokongan - dan tali digunakan membolehkan dirinya naik dan turun tingkat 3 itu. Sesampai di rumah, muka pertama dengan cop 'Singapore National Muzium' pada buku-buku tersebut akan dikoyakkan, dan dicop baru dengan cop palsu buatan sendiri bertulis 'Pustaka Taman Siswa, Jakarta' bagi menghilangkan bukti!

Namun pada tahun 1948, Ran diberkas dan dimasukkan kedalam penjara, dibawah Ordinan Darurat yang baru diperkenalkan ketika itu oleh British. Ran ditahan di Singapura, bersama-sama dengan Ahmad Boestamam, Dr Burhanuddin (Helmi), Ishak Muhammad (Pak Sako), Yusop Kal, dan Taha Kalu (bekas Inspektor Singapura). Mereka ditahan kerana penglibatan aktif dalam gerakan-gerakan subversif di bawah API. Yusop Kal, yang beristeri dua, mempunyai 2 rumah - satunya di Perak dan satu lagi di Queen's Bay, Singapura turut ditahan di pada hari yang sama.
Ran masih ingat, Dr Burhanuddin mempunyai seorang pembantu penulis/wartawan untuk majalah 'Melayu Raya-nya ketika itu, bernama Zalilawati, asalnya orang Bugis, dengan penulisan kotornya gemar menokok tambah cerita (dari cerita pembunuhan orang melayu tak sampai 5 orang, dilaporkan sehingga 60 orang terbunuh!) tetapi mempunyai penulisan yang cukup bagus hingga menarik ramai pembaca.

Seminggu sebelum penangkapannya itu, selepas menunaikan sola isya' bersama bapanya, sesuatu yang aneh berlaku.Wak Kemat sebetulnya ketua kampung bagi Kampung Tempe dan kampung-kampung sekitar, yang turut melantiknya merangkumi keluasan hampir 4 batu itu. Wak Kemat sering dilawati oleh orang kampung kerana kebolehannya sebagai Tabib, seorang yang sangat dihormati, dan merupakan ahli Sufi/Tariqat. Beliau juga merupakan penggali kubur pada waktu lapangnya. Sewaktu sedang mengaminkan doa-doa bacaan selepas sembahyang bapanya yang panjang itu, Ran sering terleka seketika. Wak Kemat yang membaca sepotong demi sepotong doa, akan menunggu anaknya mengaminkan setiap doa tersebut. "Dah tidur ke?", tegurnya setelah tidak lagi mendengar 'Amin' anaknya itu setelah beberapa lama. "Tidak pak, Aminnn", balas Ran yang baru terbangun itu. Sedang membaca doa, tiba-tiba, pada malam itu; sebilah keris yang berada di atas para-para tiba-tiba jatuh ke lantai - tetapi aneh, dalam keadaan tegak berdiri dihujung matanya!
"Ada sesuatu akan terjadi", ujar bapanya.
"Tak lah Pak, barangkali dijatuhkan tikus", balas Ran.
"Kalau tikus, takkan lah tikus dapat cabut-kan keluar keris dari sarungnya juga?"
"Jadi, apa yang akan terjadi tu, Pak?"
"Kau tengoklah seminggu dua ni, baik atau buruk, Allah Taala yang lebih mengetahui".

Memang benar, seminggu kemudian, 2 buah kenderaan Chevrolet Polis datang dan terus menggarinya. Barang-barang dirumahnya digeledah dan dirampas. Termasuklah lebih 400 buah buku yang dicurinya dari Muzium Nasional itu! Turut ditahan ketika itu ialah bapanya, tetapi kemudiannya dibebaskan selepas 15 hari.
En Amin (ketika itu Sarjan), orang melayu yang mengetuai operasi itu dan turut terlibat dalam soal siasat.
"Bagaimana kesudahannya nya ini, aku melayu, kau melayu, takkan aku mahu melihat bangsa aku sendiri khianati perjuangan aku?", kata Ran, jujur.
"Kerajaan bukan halang kau mahu berjuang, tetapi daftarkan dahulu pertubuhan mu!", tegas Encik Amin.
"Kalau sudah daftar, tentulah akan terikat dengan syarat-syarat pertubuhan! Itu bukan lagi perjuangan jika perlu bersyarat!", balas Ran pula.
Itu semuanya taktik penjajah, jika dilihat ada anak bangsa mula memberontak, dipegang si kepalanya  - pertubuhan perlulah mempunyai ketua, bukan? Kemudian dijanjikan segala bantuan, kewangan dan sebagainya, dengan syarat mendaftarkan pertubuhan - yang dengan tidak langsung memaksa pertubuhan mematuhi undang-undang tubuh pertubuhan. Itulah yang telah dituliskan - sejak 500 tahun sejarah perjuangan Melayu dahulu lagi, dalam buku-buku bacaannya itu!

Selepas 17  bulan berada didalam tahanan dibawah Ordinan Darurat, dia dan kelima-lima rakan seperjuangannya dibebaskan. Sewaktu dalam perjalanan keluar dari kem tahanan, Ran teringat akan buku-buku yang telah dirampas bersamanya pada malam penahanannya itu.
"Apa lagi ini, Ran?", tanya Yusopkal, apabila melihat Ran menggaru-garu kepalanya, runsing. Teksi sudah menunggu dihadapan.
"Kamu semua beransur pulanglah dahulu. Ada perkara lain perlu aku bebaskan!", jawab Ran.
"Apa lagi?", tanya Yusopkal kehairanan.
"Buku-bukuku. Kamu semua ditahan sehelai sepinggang, aku ditahan bersama buku-bukuku, yang memenuhi bonet 2 buah Chevrolet Polis itu!", balas Ran, terus menuju ke dalam kem tahanan semula.  
Dicarinya Encik Amin, yang ketika itu sedang membuat lawatan luar (kata koperalnya). Ran terus menunggu Encik Amin pulang ke pejabat. Hanya selepas hampir 5 jam menunggu, lewat petang itu baru Encik Amin kelihatan.
"Baguslah, tahniah. Saya menerima perkhabaran bahawa kamu telah dibebaskan hari ini", sapa Encik Amin.
"Ya Encik Amin, begitulah. Namun untuk kepastian, apa benar kami dibebaskan tanpa syarat?", tanya Ran.
"Ya benar, tanpa syarat. Tapi selepas ini, jika kamu ingin berpersatuan, pastikan dengan pertubuhan berdaftar!", balas Encik Amin lagi.
"Baiklah. Jika tanpa syarat, saya ingin meminta dibebaskan juga apa yang telah diambil dari saya", tegas Ran.
"Maksudmu?"
"Buku-buku saya!"
"Buku-bukumu? Sebentar, saya periksa dahulu rekodnya", lalu dibuka, dibelek-belek rekod yang ada diatas mejanya.
"Ya, buku-bukumu masih ada di simpanan kami. Maaf kami tidak dapat memberinya kepadamu sekarang diatas akta keselamatan. Buku-buku tersebut sangat merbahaya kepada kerajaan tatkala kita ini sedang berhadapan pelbagai ancaman dalaman!", jelas Encik Amin.
"Jadi bila boleh saya dapatkan kembali buku-buku itu?", tanya Ran, berharap.
"Apabila akta keselamatan ini dihapuskan kelak"
"Akta keselamatan sampai kiamat pun belum tentu dihapuskan!", bentak Ran, geram.
Encik Amin hanya tersenyum. Ran meneruskan perjalanan keluar dari penjara, menuju ke rumahnya dengan hampa.

Kelima-lima teman penjaranya sebelum ini, kemudiannya menyertai/menubuhkan pertubuhan-pertubuhan berdaftar. Ahmad Boestamam dengan pertubuhan PKMM-nya. Dr Burhanuddin yang juga menyertai PKMM pada peringkat awal, seterusnya menyertai PAS. Taha Kalu menubuhkan PUTERA. PKMM, golongan nasionalis yang kemudiannya membiarkan dirinya dikawal golongan Komunis; PAS, semasa dibawah Dr Burhanuddin, membawa masuk secara halus pengaruh subversif bagi menguatkan penentangan senyapnya terhadap golongan nasionalis, ketika itu diperjuangkan UMNO (yang lebih diterima rakyat kerana mendapat mandat sultan) di bawah Onn Jaafar walaupun bekerjasama dengan British. Termasuklah PUTERA yang ditubuhkan kemudiannya oleh Taha Kalu, tiada satu pun perjuangan pertubuhan-pertubuhan berdaftar ini dilihat ikhlas dan bersungguh-sungguh mahu menggabungkan nasionalis dan golongan agama. Ya, mungkin mereka melakukannya dengan sedar, atau tanpa sedar. Namun seiring dengan jatuhnya imperialis, naiknya Kapitalis, jurang yang memisahkan dua golongan ini semakin melebar!

Ran? dia telah terlalu penat berjuang. Dia telah cukup membaca, 400 buah buku istimewa - tidak sekali-kali terlintas untuk menggadaikan prinsipnya berjuang dibawah pertubuhan berdaftar (disebut: boneka) penjajah - samada British atau Komunis. Terlalu penat dikhianati dan dihukum oleh anak bangsa sendiri. Sekali-kali tidak dia mahu menjadi alat mana-mana penjajah, samada British, Jepun, atau Komunis lagi. Dia sendiri mempunyai perjuangan yang belum selesai, namun jauh dihatinya, api itu belum pernah padam untuk melihat bangsanya merdeka dan berdaulat!

****

Prelude:
Ya, jika saudara-saudara mendapat maklum akan keberadaan buku-buku tersebut kini, samada milikan persendirian atau kepunyaan arkib, ber-cop 'Pustaka Taman Siswa, Jakarta', jangan lupa untuk sekurang-kurangnya tersenyum, kerana ketahuilah seorang anak bangsa telah mempertaruhkan jiwa dan raganya dalam meneruskan perjuangan ini untuk mendaulatkan Bangsa Melayu! 

No comments:

Post a Comment