Wednesday, August 22, 2012

Basikal Tua, rantai basikal, basikal usang, untuk yang pertama.

 Ntahlah, kawan. Kawan juga yang mencadangkan nama kait mengait dengan basikal-basikal ini. Saya hanya menurut perintah, iaitu menurut perintah untuk memikirkan nama bagi blog yang sesuai, yalah untuk kawan juga. Saya tak tahu lain, tapi mungkin, barangkali, nama basikal-basikal ni macam orang dah selalu gunapakai (eh yeke?), apapun hasil dari trangresi-regresi idea yang berulang2 maka saya pun pilih nama2 berkait kepompong pula. Teringat pula kata pepatah semasa saya kecil2 dahulu;

Dari ulat jadi kepompong,
Tidur lena dalam kelongsong,
Satu hari kepompong pecah, POM!
Jadilah rama-rama yang indah,
Rama-rama terbang melata,
Hinggap madu di pokok bunga,
Tapi sayang hidup tak lama.

Ah, maaf. Rasanya itu bukan pepatah, mungkin puisi, atau syair rakyat. Tapi saya harap dengan sokongan kawan juga blog ini tidak la seperti rama-rama itu, yang tidaklah lama akan hidupnya.

Itulah kehidupan dunia, tiada lain melainkan gurau senda yang cukup singkat. Entah hari ini, esok, dan jika bukan esok, lusa barangkali, maut datang menjemput; kalau tidak saya, mungkin kawan.

Tapi bukan persoalan ini yang mahu saya persoalkan di blog ini. Kepompong, bukan? bukan rama-rama, bukan? Maka atas sebab itulah blog ini akan membincangkan mengenai rencam-rencam kehidupan, suka duka, bahagia derita, sekumpulan manusia yang tidaklah lain, melainkan kawan lah juga. Siapapun kawan, tetaplah kawan selagi kawan masih berkawan, bukan begitu?

Kisah semalam yang hitam putih
Jadi bermula perjalanan blog ini, untuk kawan. Berkongsi kisah sepanjang perjalanan berkawan, kisah mengenai kawan juga. Harapnya kawan tidaklah lupa kisah kawan sepanjang perkawanan kawan.

Maka, disamping ruang yang terhad ini bakal digunakan untuk membicarakan perihal masa depan, kadangkala akan diselang seli dengan perjalanan-perjalanan kita di masa yang lalu, wahai kawan. Barangkali ada senyuman yang bisa kita ukir, dari kenangan indah semalam, dari air mata kelmarin. Itupun, jika kau masih sudi bersama, kan kawan?

Semoga ia akan sentiasa terpahat dihati, menjadi milik abadi untuk kawan. Keikhlasan, kepercayaan, mungkin memungkinkan seribu lagi kemungkinan. Jauh dan dekat, kawan!


Jadi, kawan; sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kerana singgah di ruang perkawanan kita ini. Samada kawan, atau kawan perkawanan, atau kawan dikawan, semuanya dialukan di ruang ini, atas nama kawan!

230812

No comments:

Post a Comment